TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jurang upah kekal ketara — 10% pekerja formal terendah terima RM1,664 sebulan, kumpulan tertinggi RM9,200

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 27 Okt – Analisis Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan jurang ketara dalam pendapatan pekerja formal negara apabila 10 peratus kumpulan terendah menerima RM1,664 atau kurang, manakala 10 peratus kumpulan tertinggi memperoleh sekurang-kurangnya RM9,200 sebulan.

Perbezaan ini menunjukkan kumpulan berpendapatan tinggi menerima lima kali ganda lebih banyak berbanding kumpulan terbawah, menggambarkan ketidakseimbangan upah antara dua kategori tersebut.

Tiga negeri mencatatkan median upah bulanan melepasi paras nasional RM2,864 iaitu:

  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – RM4,064

  • Selangor – RM3,145

  • Pulau Pinang – RM2,927

Sementara itu, median upah bulanan terendah direkodkan di Kelantan (RM1,764) diikuti Perlis (RM1,800) serta Sabah dan Kedah (RM2,000).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh kekal kukuh pada suku kedua 2025 dengan pertumbuhan positif bagi semua negeri, disokong peningkatan penduduk bekerja.

“Statistik ini berasaskan sumber data pentadbiran daripada agensi berkaitan dan memberi tumpuan kepada warganegara dalam sektor formal, khususnya di sektor swasta.

DOSM akan terus memperkukuh penyebaran data upah dengan integrasi pelbagai sumber bagi pemahaman lebih mendalam terhadap pasaran buruh negara,” katanya dalam Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Kedua 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, jumlah pekerja formal warganegara meningkat 3.5 peratus kepada 6.97 juta orang pada Jun 2025, manakala median upah bulanan mencatatkan pertumbuhan antara 3.6 hingga 5.4 peratus bagi tempoh April hingga Jun 2025.

Dari segi jantina, pekerja lelaki (55.1 peratus atau 3.84 juta orang) memperoleh median upah RM2,900 berbanding RM2,800 bagi pekerja perempuan (44.9 peratus atau 3.13 juta orang).

Berdasarkan umur, pertumbuhan upah tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja bawah 20 tahun yang menerima median RM1,700 — meningkat 13.3 peratus berbanding tahun lalu.
Kumpulan umur 45 hingga 49 tahun pula memperoleh median upah tertinggi iaitu RM3,800.

Bagi aktiviti ekonomi, semua sektor menunjukkan peningkatan median upah bulanan.

  • Sektor perlombongan & pengkuarian mencatatkan pertumbuhan tertinggi 10.2 peratus kepada RM6,500,

  • manakala sektor pertanian merekodkan median upah terendah RM2,200 walaupun meningkat 10.0 peratus tahun ke tahun.

Selain itu, 10.4 peratus pekerja formal warganegara menerima upah bawah RM1,700 sebulan pada Jun 2025 — menurun 12.2 mata peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menunjukkan peningkatan positif dalam agihan pendapatan pekerja negara.

+ - reset