TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru Matematik didakwa lagi cabul pelajar 14 tahun dalam kelas pendidikan khas

By
|
Kongsi
image

 

 

MUAR 27 Okt - Seorang guru matematik yang sebelum ini didakwa atas kes amang seksual fizikal di Putrajaya, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan sama melibatkan seorang pelajar lelaki pendidikan khas.

Tertuduh, Md Rasbe Mezan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun dalam kelas pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di sini, kira-kira jam 11 pagi pada 30 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan tambahan hukuman penjara maksimum lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan, namun mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen.

Tertuduh membayar ikat jamin tersebut.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang berkomunikasi atau mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Berdasarkan laporan polis, mangsa yang juga pelajar pendidikan khas mendakwa dirinya dicabul oleh tertuduh yang ketika itu bertindak sebagai guru ganti.

Selepas kejadian, mangsa tidak hadir ke sekolah, namun apabila guru lain bertanyakan keadaannya, dia mendedahkan telah dicabul oleh tertuduh.

Pada Ogos lalu, Md Rasbe turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan sama melibatkan pelajar lain dalam sebuah bas ketika lawatan sambil belajar.

Selain itu, tertuduh dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas satu lagi pertuduhan serupa juga dikatakan berlaku dalam bas ketika perjalanan ke utara tanah air. 

+ - reset