TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar lelaki didakwa cabul rakan sekolah berdepan hukuman dihantar ke Sekolah Henry Gurney

By
|
Kongsi
image

KUALA SELANGOR 27 Okt  - Seorang pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap rakan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam 13 Oktober lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, bagaimanapun, tertuduh berusia 15 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kelas di sekolah berkenaan, kira-kira jam 9.30 pagi, 13 Oktober lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan antaranya memperuntukkan hukuman denda, pampasan atau kos, atau perintah khidmat masyarakat atau dihantar ke sekolah diluluskan seperti Sekolah Henry Gurney.

Selain itu, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara tertakluk kepada Seksyen 96(2) Akta Kanak-Kanak sehingga tempoh tertentu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak menawarkan kos jaminan RM6,000 dengan mengambil kira faktor kes melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini semakin serius.

Bagaimanapun, peguam, Aina Suraya Ahmad Nor Hisham merayu pengurangan kerana pelajar itu perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital akibat kemalangan jalan raya.

"Dia (anak guam) sebelum ini mengalami kecederaan patah kaki dan pendarahan di otak.

"Bapanya pula bekerja sebagai petani dengan berpendapatan hanya RM500 sebulan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Disember depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pelajar lelaki di tepi jalan di Jalan Parit 1 Barat, Sungai Besar selepas disyaki terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di daerah Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, suspek berusia 15 tahun itu ditahan pada hari sama selepas melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan berkenaan.

+ - reset