TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki didakwa pulas tangan ibu, ugut bunuh gara-gara enggan pinjam kereta

By
|
Kongsi
image

MELAKA 27 Okt – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memulas tangan ibunya hingga cedera serta mengugut mahu membunuh wanita itu selepas permintaannya untuk meminjam kereta ditolak, bulan lalu.

Tertuduh, U. Sarvin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, C. Chitra, 41, dengan cara memulas tangan kiri mangsa ke belakang badan di rumah mereka di Taman Paya Rumput Permai, Melaka Tengah, pada 12 September lalu, kira-kira jam 5.45 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sarvin didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengugut mahu membunuhnya, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, sebelum kejadian, tertuduh pulang ke rumah dan meminta untuk meminjam kereta Proton Saga FLX serta motosikal Modenas, namun ibunya enggan memberikannya kerana bimbang anaknya yang sering mabuk akan menjual barangan rumah.

Pendakwaan dikendalikan Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana sudah tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes serta lantikan peguam.

+ - reset