TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PGIRM kesal isu pengeluaran bersasar KWSP masih tiada keputusan selepas empat tahun

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 27 Okt. – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menzahirkan rasa kesal terhadap keadaan berpanjangan yang terus menekan ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), khususnya mereka yang masih menanggung kesan ekonomi pasca pandemik serta peningkatan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir, berkata pencarum telah menunjukkan kesabaran luar biasa sejak 2021 apabila mengemukakan pelbagai rayuan dan cadangan pengeluaran bersasar daripada Akaun 1 KWSP, namun sehingga kini tiada keputusan tuntas diumumkan kerajaan.

“Empat tahun adalah satu tempoh yang panjang. Dalam tempoh itu, ribuan pencarum telah kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan, malah ada yang meninggal dunia tanpa sempat menikmati hasil titik peluh sendiri. Kesabaran rakyat jangan terus diuji,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PGIRM tidak pernah berhenti berusaha melalui saluran sah, termasuk menghantar memorandum, cadangan dasar dan permohonan dialog rasmi kepada pihak KWSP, Kementerian Kewangan serta wakil rakyat, namun semua usaha itu tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Azmi menegaskan bahawa isu pengeluaran bersasar KWSP bukan lagi soal politik, sebaliknya soal kemanusiaan dan keadilan sosial bagi pencarum yang benar-benar terdesak.

Jelasnya, kerajaan wajar menilai semula tuntutan tersebut dengan mengambil kira situasi rakyat yang bergelut untuk menampung keperluan asas seperti pendidikan anak-anak, kos perubatan dan bayaran hutang kritikal.

PGIRM turut menyeru agar semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, mengenepikan perbezaan dan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

“Suara pencarum ini adalah suara rakyat yang masih berharap dan menaruh kepercayaan bahawa kerajaan mampu mendengar serta bertindak dengan adil.

“Kami bukan menuntut sesuatu yang baharu, tetapi hanya meminta kerajaan mengiktiraf kesabaran rakyat selama empat tahun ini. Kini sudah tiba masanya untuk mendengar dan bertindak,” katanya.

+ - reset