TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Keputusan kes ibu Zayn Rayyan diketahui esok di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 30 Okt – Nasib Ismanira Abdul Manaf, 30, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berdepan pertuduhan mengabaikan anaknya, akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Keputusan sama ada Ismanira disabitkan atau dibebaskan di akhir kes pembelaannya akan ditentukan oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh, selepas mendengar keterangan penuh daripada semua saksi sepanjang perbicaraan.

Pihak pembelaan difahamkan telah memfailkan hujahan bertulis pada 18 September lalu, manakala pihak pendakwaan membalas pada 1 Oktober.

Dalam hujahan bertulisnya, pembelaan berhujah bahawa keterangan Ismanira bukan sekadar penafian kosong, sebaliknya konsisten dan tidak bersifat “afterthought” (fikiran terkemudian) ketika memberi penjelasan.

Sebaliknya, pihak pendakwaan berpendapat bahawa keterangan ikut keadaan menunjukkan semasa arwah Zayn Rayyan berada di bawah jagaan ibunya, tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada risiko kecederaan fizikal.

Terdahulu, pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, yang ketika itu berusia enam tahun, didakwa mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran antara 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

+ - reset