TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.09 peratus tahun lalu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Okt – Kadar kemiskinan tegar nasional mencatat penurunan ketara kepada 0.09 peratus pada tahun lalu, berbanding 0.2 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan hanya kira-kira 7,000 individu kini berstatus miskin tegar di seluruh negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penurunan itu merupakan hasil pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif dan pendekatan di bawah Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan secara menyeluruh.

“Hanya ada tiga negeri masih merekodkan kelompok miskin tegar dan kita akan terus berusaha mengurangkannya.

“Kita juga memperkenalkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) bagi memperkukuh usaha menangani kemiskinan, bukan sekadar dari sudut kewangan semata-mata, tetapi turut mengambil kira aspek kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, pelbagai penambahbaikan dapat dilihat dalam data semasa hasil pelaksanaan dasar yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan bahawa Agenda Pemerkasaan Bumiputera tidak pernah diketepikan oleh kerajaan, sebaliknya diteruskan menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang kini sedang diterjemahkan oleh semua kementerian dan agensi berkaitan.

“Dalam melaksanakan agenda ini, kerajaan mengambil pendekatan negara menyeluruh, bukan hanya melibatkan agensi kerajaan semata-mata, tetapi turut membabitkan pelbagai pihak lain.

“Hasilnya, pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera setakat ini menunjukkan pencapaian yang positif,” katanya.

+ - reset