TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Trump terus puji Malaysia ketika lawatan di Jepun, sebut peranan negara bantu rundingan keamanan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Okt - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menyebut nama Malaysia dalam ucapannya di Jepun hari ini apabila memuji peranan negara ini dalam membantu rundingan keamanan melibatkan beberapa negara Asia.

Dalam ucapan tersebut, Trump mengimbas kembali detik rundingan keselamatan dan perdagangan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, sambil menzahirkan penghargaan terhadap fasiliti serta kepimpinan Malaysia.

“Saya menyebut Kemboja, saya menyebut Thailand, dan selepas dua hari, masalah kami berakhir dengan bantuan Malaysia,” katanya dalam video ucapan yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Duan.

Trump berkata, fasiliti di Malaysia digunakan ketika proses pendamaian kerana negara ini mempunyai kemudahan terbaik dan mampu menampung keperluan pelbagai pihak yang terlibat dalam rundingan.

“Malaysia sangat hebat. Mereka membantu melaksanakan proses itu dengan baik. Kami menggunakan sebuah fasiliti yang indah di Malaysia kerana situasi ketika itu sangat tegang… tetapi Malaysia berjaya mengendalikannya,” katanya.

Bekas Presiden itu turut memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sebagai “seorang pemimpin hebat” dengan peranan besar memastikan rundingan berjalan lancar.

“Perdana Menteri adalah seorang yang hebat. Dalam masa dua hari sahaja kami menandatangani perjanjian dan kedua-dua pihak datang seperti rakan baik. Ia sesuatu yang indah untuk dilihat. Kami mungkin telah menyelamatkan jutaan nyawa,” ujarnya.

Trump sebelum ini tiba di Malaysia pada 26 Oktober bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, sebelum berlepas ke Jepun pada Isnin lalu.

Dalam lawatan itu, beliau turut menandatangani perjanjian perdagangan dan mineral bersama Malaysia serta mengambil langkah memulihkan hubungan diplomatik dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selepas beberapa bulan ketegangan antara kedua-dua negara.

 

+ - reset