TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Proton lancar e.MAS 5, EV mampu milik pertama Malaysia bermula RM59,800

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt - Proton Holdings Bhd (PROTON) melakar sejarah baharu industri automotif negara dengan pelancaran kereta elektrik (EV) mampu milik pertama Malaysia, Proton e.MAS 5, yang dijual pada harga bermula RM59,800.

Model itu ditawarkan dalam dua varian — Prime pada harga atas jalan tanpa insurans RM59,800, dan Premium pada RM72,800.
Menariknya, sempena promosi pelancaran hingga 31 Disember ini, PROTON menawarkan rebat RM3,000, menjadikan harga masing-masing RM56,800 (Prime) dan RM69,800 (Premium).

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata pelancaran Proton e.MAS 5 menandakan komitmen kukuh PROTON untuk menjadikan teknologi hijau lebih mampu milik dan mudah dicapai rakyat Malaysia.

“Kami mahu menjadikan teknologi hijau dapat dinikmati semua rakyat Malaysia. Proton e.MAS 5 menggabungkan inovasi canggih, keselamatan terbukti dan kemampuan milik yang nyata,” katanya pada majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar, di sini hari ini.

Sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober lalu, lebih 5,000 tempahan diterima dengan yuran tempahan hanya RM99.

Jarak 325KM, Caj 80% Dalam 21 Minit

Proton e.MAS 5 direka berasaskan falsafah kemampuan milik, praktikaliti dan gaya hidup moden, dengan jarak pemanduan sehingga 325 kilometer (kitaran WLTP) — sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

EV pacuan roda belakang ini menggunakan motor 85kW dengan tork 150Nm, mampu memecut 0–50km/j dalam 3.9 saat, dan menyokong caj pantas DC 30–80% dalam 21 minit.

Dari segi reka bentuk, ruang dalaman tampil minimalis premium dengan 32 ruang penyimpanan, ruang hadapan (frunk) 70 liter, serta ruang but 375 liter yang boleh diperluas hingga 1,320 liter.

Warna ditawarkan termasuk Moonstone White, Graphite Silver, Slate Grey, Marble Cream dan Quartz Rose.

Canggih, Selamat dan Mesra Pengguna

Ciri keselamatan turut menjadi fokus utama dengan 12 fungsi bantuan pemanduan (ADAS) seperti Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning dan Blind Spot Detection.

Struktur badan dibina dengan Star Armor Cage Structure, manakala bateri CATL LFP dilindungi oleh sistem keselamatan berlapis 3+2.

Bahagian infotainmen pula dilengkapi skrin utama 14.6 inci Full HD, panel instrumen 8.8 inci, serta sistem ATLAS Auto dengan arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Ia turut menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, bersama aplikasi Proton e.MAS App untuk memantau bateri dan mengawal fungsi kabin dari jauh.

Waranti 8 Tahun, Pakej Bernilai RM8,000

Pembeli terawal menikmati lima Power Pack bernilai hingga RM8,000, termasuk:

Pengecas rumah 7kW percuma,

Rebat trade-in RM1,000,

Kadar faedah 1.98%, dan

Data internet tanpa had selama lima tahun.

Setiap pembelian Proton e.MAS 5 turut disertakan waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan, serta waranti bateri dan komponen voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000km.

 

+ - reset