TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPDN Pulau Pinang terima sembilan aduan berkaitan BUDI95 sejak dilancar

By
|
Kongsi
image

BUKIT MERTAJAM 30 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima sembilan aduan berkaitan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak ia dilaksanakan pada 30 September lalu.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan, berkata daripada jumlah itu, hanya tiga aduan berada di bawah bidang kuasa kementerian, membabitkan dakwaan kekurangan jumlah sukatan isian petrol di pam.

“Sebagai contoh, ada individu mendakwa mengisi minyak kenderaan RM30 tetapi merasakan jumlah liter yang diterima sepatutnya lebih.

“Kita telah menghantar pegawai untuk membuat semakan dan mendapati pam dispenser di stesen minyak berkenaan masih dalam tempoh tentusah, manakala ujian sukatan menunjukkan kuantiti petrol yang dijual adalah tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelupusan Ekshibit Mega di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang, Bukit Minyak, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan menjelaskan kebanyakan aduan berpunca daripada tanggapan pengguna yang hanya melihat bacaan pada meter tanpa meneliti paparan sebenar di pam minyak.

Bagaimanapun, katanya, KPDN akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pelaksanaan program BUDI95 berjalan lancar serta melindungi hak pengguna.

Untuk rekod, program BUDI95 diperluas mulai 30 September lalu kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak, dengan sistem pengesahan melalui MyKad.
Menerusi program itu, rakyat Malaysia yang layak dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.

+ - reset