TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'MOT hanya pemantau' - Anthony Loke jelaskan Aerotrain KLIA milik sepenuhnya MAHB

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Okt - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil tindakan punitif terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan beberapa insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata langkah itu dibuat bagi memberi mesej jelas bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga tidak terkecuali daripada tanggungjawab memastikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

“Ya, tindakan punitif akan diambil oleh MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Kita mahu tunjukkan bahawa walaupun mereka GLC, mereka tetap perlu bertanggungjawab memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, semalam.

Loke menjelaskan, MOT sudah mengarahkan APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB selepas mendapati perkhidmatan Aerotrain masih berdepan gangguan walaupun telah beroperasi semula beberapa bulan lalu.

Katanya, selain MAHB, kontraktor yang dilantik untuk projek itu juga perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal menjamin operasi sistem baharu itu berjalan lancar.

“Kontraktor juga mesti menjawab mengapa perkhidmatan masih terganggu sedangkan ia sistem baharu.

Saya harap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa projek Aerotrain di KLIA bukan di bawah seliaan langsung MOT, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh MAHB sebagai pemilik aset berkenaan.

“Peranan MOT ialah sebagai pengawal selia. Sebab itu saya arahkan APAD buka siasatan untuk menilai sama ada wujud kecuaian pihak MAHB,” katanya.

Menurut Loke, hasil siasatan akan menentukan sama ada denda maksimum RM250,000 bagi setiap insiden gangguanakan dikenakan ke atas syarikat pengendali lapangan terbang itu.

“Kita kena ikut proses sewajarnya. Saya tak boleh arah hari ini dan denda esok. Tapi tindakan akan tetap diambil selepas semua prosedur dipenuhi,” tegasnya.

Menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) sama ada MOT bercadang menghentikan operasi Aerotrain sepenuhnya bagi menjamin keselamatan penumpang, Loke menjelaskan perkara itu belum dipertimbangkan.

“Saya belum pertimbangkan untuk hentikan keseluruhan operasi kerana sistem ini sudah pun dimulakan,” katanya ringkas.

 

+ - reset