TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki cuba terjun Jambatan Pulau Pinang gara-gara tertekan diberhentikan kerja

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 31 Okt - Seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai tertekan selepas diberhentikan kerja dan dalam masa sama menantikan kelahiran anak pertamanya, cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi, namun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Difahamkan, tindakan lelaki itu disedari pengguna jalan raya lain yang curiga apabila melihatnya berdiri di tepi jambatan pada kira-kira jam 2.20 pagi di Kilometer 8 arah Georgetown menghala ke Perai.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Muhamad Nurakmal Azmi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada waktu sama memaklumkan terdapat seorang lelaki mengancam untuk terjun dari jambatan.

“Terdahulu, dia dikatakan dilihat berada di tepi jambatan dipercayai untuk terjun, namun orang awam bertindak pantas menariknya dari tembok penghadang.

“Lelaki itu berjaya diselamatkan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Namun, kami tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai individu yang menyelamatkan mangsa,” tambahnya.

 

+ - reset