TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan minta OMi jelaskan mekanisme verifikasi umur – Fahmi

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 31 Okt. – Syarikat penyedia aplikasi OMi diminta memberikan penjelasan mengenai langkah serta mekanisme sistem verifikasi umur yang digunakan pada platform media sosial itu ketika ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diminta meneliti cadangan penggunaan sistem pengesahan identiti pengguna (eKYC) sebagai syarat menggunakan aplikasi sosial atau temu jodoh tersebut.

Menurutnya, MCMC akan memanggil syarikat yang mengendalikan OMi bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kaedah keselamatan dan kawal selia yang dilaksanakan.

“Kita juga akan pertimbangkan penggunaan eKYC yang menggunakan dokumen yang diterbitkan kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi pengesahan umur serta identiti.

“Kita akan ambil tindakan. Jadi, saya telah minta kerana OMi ini adalah aplikasi yang sedikit berbeza,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian susulan laporan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan melalui aplikasi tersebut.

+ - reset