TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek tetak abang ipar hingga putus kepala negatif dadah, direman enam hari

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 1 Nov - Lelaki yang disyaki menetak abang iparnya hingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun semalam, direman enam hari sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat oleh pihak polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah. Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam semalam, mangsa yang juga abang ipar suspek ditemui maut di kawasan sawah dengan kepalanya terputus daripada badan serta terdapat beberapa kesan tetakan lain di tubuh.

Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek berada di rumahnya berhampiran kawasan sawah, masih memegang parang berukuran 30 sentimeter, sebelum berjaya dipujuk menyerah diri selepas kira-kira 15 minit rundingan.

Menurut Mohd Radzi, jarak antara rumah suspek dan lokasi mangsa ditemui adalah kira-kira 30 meter, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta motif pergaduhan.

+ - reset