TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pensyarah diingatkan tidak ulas isu luar bidang kepakaran – Zambry

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 6 Nov – Pensyarah universiti tidak seharusnya mengulas secara terbuka isu yang berada di luar bidang kepakaran masing-masing, tegas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata dunia akademik mempunyai tatacara serta panduan yang perlu dihormati bagi menjaga integriti ilmu dan kredibiliti institusi pengajian tinggi.

“Kita tidak menghalang pensyarah memberikan pandangan berkaitan bidang mereka, tetapi adalah malang sekiranya mereka ingin bercakap tentang semua perkara yang bukan dalam bidang.

“Jadi inilah yang sering kali dipersoalkan dan seperti saya sebutkan berkali-kali, berikan tumpuan kepada bidang kepakaran masing-masing,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025) di sini, semalam.

Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom pada zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Ulasan itu dibuat susulan penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan badan sebuah kapal dari abad ke-13 di Pulau Melaka, Melaka, pada Jumaat lalu.

Penemuan rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun itu disahkan antara yang tertua pernah dijumpai di Malaysia, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam dunia arkeologi negara.

Menurut Zambry, profesor dan pensyarah sewajarnya menjadi rujukan masyarakat dalam bidang yang mereka kuasai, sama seperti doktor pakar yang hanya memberi pandangan dalam kepakaran masing-masing.

“Tetapi sekiranya seorang profesor dalam bidang teknikal ingin bercakap seolah-olah beliau pakar dalam bidang lain, walaupun pandangannya mungkin bernas, namun apabila dijadikan subjek kemahiran diri, perkara itu sering dipersoalkan dalam dunia akademik,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zambry menegaskan sistem pendidikan tinggi negara perlu memperkukuh dua teras utama – kurikulum dan pedagogi – agar kekal relevan dengan perubahan global serta keperluan industri.

Beliau berkata kurikulum bukan semata-mata kandungan ilmu, tetapi turut menekankan nilai, kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan selaras dengan pelan pendidikan 10 tahun yang dirangka bagi membina asas disiplin baharu seperti planetary health serta pendekatan multidisiplin dalam bidang kejuruteraan.

Menurutnya, pendidikan tinggi perlu menyeimbangkan kepakaran bidang dengan pembinaan insan serta menjadikan elemen kemanusiaan sebagai teras pelan tindakan negara.

Zambry turut menyentuh cabaran ketidakseimbangan akses digital, sambil memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan semua universiti dilengkapi 100 peratus capaian internet bagi memastikan kesamarataan akses ilmu, terutama di politeknik dan kolej komuniti.

+ - reset