TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

5.5 juta saman JPJ belum berbayar, Anthony Loke pesan selesaikan segera atau terus disenarai hitam Januari depan

By
|
Kongsi
image

 

 

PUTRAJAYA 6 Nov – Sebanyak 5.5 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan jalan raya masih belum dijelaskan setakat ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Daripada jumlah itu, 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22), manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

Sehubungan itu, Anthony Loke menggesa orang ramai yang mempunyai saman tertunggak supaya segera menjelaskan bayaran melalui tawaran diskaun 50 peratus yang diberikan JPJ mulai 1 November hingga 30 Disember ini, bagi mengelak tindakan mahkamah atau penyenaraian hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Bermula 1 Januari depan, bagi kes yang perlu ke mahkamah, kita akan ke mahkamah. Kalau tidak, kita akan terus senarai hitam LKM — maksudnya tidak boleh perbaharui cukai jalan.
Sekiranya kesalahan melibatkan pemandu, kita akan senarai hitam lesen memandu juga. Tetapi biasanya, saman JPJ lebih kepada kesalahan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan sambutan Deepavali anjuran kementerian itu, hari ini.

Mengulas mengenai perbezaan kadar diskaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan potongan 70 peratus, Anthony Loke menjelaskan bahawa JPJ kekal dengan kadar 50 peratus kerana diskaun sama telah diberikan bagi tiga jenis kesalahan sejak awal tahun ini.

“Sebelum ini, kita beri diskaun 50 peratus untuk saman AwAS, Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23, jadi tidak adil untuk mereka yang dah bayar,” katanya.

Dalam tempoh empat hari pelaksanaan diskaun terbaharu, JPJ berjaya mengutip RM7.36 juta bagi 56,156 samanyang telah dibayar.

Sebelum ini, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan PDRM akan diselaraskan bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi 31 hingga 60 hari, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.

 

+ - reset