Berita Dunia
Tentera Myanmar roboh 150 bangunan, tumpas pusat 'scammer' di sempadan Thailand
YANGON 10 Nov - Dalam operasi ketenteraan terbesar tahun ini, tentera Myanmar melancarkan serbuan besar-besaran ke atas pusat penipuan internet terkenal berhampiran sempadan Thailand, sekali gus merobohkan hampir 150 bangunan termasuk hospital, gimnasium, spa dan pusat karaoke.
Serbuan itu menyasarkan kompleks KK Park, yang sejak sekian lama menjadi sarang kegiatan penipuan dalam talian melibatkan ratusan juta dolar dan mengeksploitasi ribuan pekerja, termasuk mangsa pemerdagangan manusia dari pelbagai negara.
Akhbar rasmi kerajaan, The Global New Light of Myanmar, melaporkan sebanyak 148 bangunan dikenal pasti di kawasan berkenaan, merangkumi asrama, hospital empat tingkat dan kompleks karaoke dua tingkat.
“Sebanyak 101 bangunan telah dirobohkan, manakala 47 lagi masih dalam proses,” menurut laporan akhbar itu.
Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut, namun penduduk tempatan di kedua-dua belah sempadan Myanmar dan Thailand mendakwa mendengar letupan dan tembakan berbalas sejak operasi dilancarkan.
2,000 Ditahan, 1,500 Lari ke Thailand
Bulan lalu, tentera Myanmar mengumumkan kejayaan menahan lebih 2,000 anggota sindiket penipuan, manakala sekitar 1,500 individu melarikan diri ke Thailand ketika operasi digerakkan.
Difahamkan, KK Park menempatkan pekerja yang terlibat dalam penipuan cinta dan pelaburan palsu, dengan sebahagian daripadanya dipaksa bekerja manakala yang lain memilih untuk kekal kerana ganjaran lumayan.
Tekanan Antarabangsa dan Peranan China
Penganalisis berpendapat serbuan itu dilakukan untuk meredakan tekanan antarabangsa, khususnya daripada China, sekutu utama junta Myanmar, yang semakin marah dengan peningkatan penipuan menyasarkan warganya.
Namun, tindakan keras secara besar-besaran boleh menjejaskan sumber kewangan kumpulan militia yang menjadi sekutu junta dalam perang saudara yang masih berlarutan sejak rampasan kuasa 2021.
Pemutusan Internet dan Pemulangan Ribuan Pekerja
Awal tahun ini, China mengetuai operasi repatriasi yang membawa pulang lebih 7,000 pekerja penipuan, manakala Thailand menyekat capaian internet rentas sempadan bagi mengekang aktiviti sindiket berkenaan.
Selepas pendedahan siasatan oleh AFP mengenai penggunaan internet satelit Starlink di KK Park, syarikat induk SpaceX bertindak memutuskan lebih 2,500 terminal internet satelit yang digunakan bagi mengelak sekatan pihak berkuasa. - AFP
Berita berkaitan
January 29, 2026, 3:08 pm
China laksana hukuman mati terhadap 11 anggota sindiket scammer Myanmar
January 29, 2026, 9:10 am
Tanah runtuh Bandung Barat: 53 mayat ditemukan, operasi SAR masuk hari kelima
January 23, 2026, 12:04 pm
AS secara rasmi keluar WHO selepas 80 tahun, henti semua pembiayaan
January 21, 2026, 1:27 pm
Pesawat Air Force One ke Davos dinaiki Trump terpaksa berpatah balik
January 20, 2026, 3:36 pm
Cuaca buruk, laluan sukar paksa pasukan SAR gantung mayat mangsa nahas ATR 42-500
January 19, 2026, 9:43 am
21 terkorban tren berkelajuan tinggi bertembung di Madrid
January 9, 2026, 10:22 pm
Bekas Menteri Agama Indonesia dinamakan sebagai suspek rasuah kuota haji
January 6, 2026, 11:08 am
Maduro mengaku tak bersalah di Mahkamah New York, dakwa diculik tentera AS
January 6, 2026, 10:44 am
10 motosikal terlibat kemalangan di Causeway Johor–Singapura
January 5, 2026, 11:34 am
