TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar tolak motosikal polis hingga terjatuh dikenakan tiga saman

By
|
Kongsi
image

BANDAR BAHARU 27 Nov – Dua pelajar sekolah yang bertindak menolak motosikal polis sehingga terjatuh dalam kejadian tular di Jalan Selama, Kuala Dingin, baru-baru ini, telah dikenakan tindakan saman.

Insiden yang tersebar di media sosial itu memaparkan dua pelajar berkenaan menolak motosikal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga menyebabkan kenderaan tersebut tumbang ketika anggota polis sedang menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintendan Syamsul Siring, berkata tiga saman dikeluarkan terhadap kedua-dua pelajar terbabit atas kesalahan tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, dan cukai jalan tamat tempoh.

Menurut beliau, mereka telah dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu bersama waris masing-masing untuk sesi nasihat.

“Nasihat telah diberikan agar tidak mengulangi kesilapan. Usaha ini juga menunjukkan pihak IPD Bandar Baharu memberi didikan dan kefahaman kepada pelajar serta ibu bapa supaya tidak melanggar peraturan jalan raya.

“Mereka turut dinasihatkan supaya menghormati penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan.

Syamsul memaklumkan, pihaknya mengesan video tular berdurasi 34 saat di TikTok membabitkan dua anggota URB dari Balai Polis Serdang, yang sedang menjalankan tugas di lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku pada 20 November lalu sekitar jam 2 petang, ketika anggota URB tiba dan mendapati sekumpulan pelajar berkumpul bersama motosikal di tengah jalan, termasuk ada yang tidak memakai topi keledar.

“Kehadiran polis menyebabkan kumpulan pelajar itu melarikan diri. Namun sebuah motosikal Yamaha Y15 dinaiki dua pelajar gagal dihidupkan.

“Anggota URB cuba menahan mereka untuk pemeriksaan, tetapi pelajar terbabit menolak motosikal URB sehingga terjatuh dan anggota turut terjatuh,” katanya.

+ - reset