Berita Berita
HRD Awards 2025 iktiraf usaha pembangunan bakat Malaysia
KUALA LUMPUR 27 Nov - Penganjuran HRD Awards 2025 membuktikan kesungguhan Malaysia dalam memperkukuh pembangunan modal insan sebagai teras kepada daya saing ekonomi negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Azman Mohd Yusoff.
Berucap pada majlis tersebut, beliau berkata anugerah yang diperkenalkan sejak 2001 itu kekal sebagai pengiktirafan tertinggi kepada majikan, penyedia latihan dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam pembangunan bakat di bawah seliaan HRD Corp.
Menurutnya, edisi ke-23 HRD Awards menerima 770 penyertaan, jumlah tertinggi setakat ini, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran industri terhadap kepentingan pelaburan dalam bakat sebagai asas kepada pembangunan mampan dan inklusif.
Azman berkata, dunia pekerjaan kini berkembang pesat sejajar dengan kemajuan teknologi, globalisasi dan kemunculan bentuk pekerjaan baharu, justeru Malaysia perlu mengamalkan pendekatan pembangunan modal insan yang lebih tangkas, berpandangan jauh dan inklusif.
Beliau menegaskan faktor penentu kejayaan negara bukan semata-mata terletak pada infrastruktur atau teknologi, sebaliknya pada kekuatan kemahiran, kreativiti dan ketahanan tenaga kerja.
Mengulas peranan HRD Corp, beliau berkata agensi itu terus menyediakan akses kepada latihan berkualiti dan relevan industri bagi meningkatkan peluang pekerjaan, tahap pendapatan serta memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Inisiatif yang diperkenalkan merangkumi peluasan pembelajaran digital dan program pembangunan khusus yang membantu pekerja meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi,” katanya.
Beliau berkata usaha itu selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan modal insan sebagai teras kepada peningkatan produktiviti, pemerkasaan maruah dan kesejahteraan sosial.
Katanya, kejayaan HRD Awards juga adalah hasil usaha kolektif semua pihak yang memastikan integriti dan prestij anugerah terus terpelihara.
“Sambil kita meraikan pemenang tahun ini, perlu diingatkan bahawa anugerah ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi lambang kepimpinan, inovasi serta komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
November 27, 2025, 2:11 pm
'Tidak pernah sekali dia minta apa-apa untuk peribadi atau keluarga' - Anwar puji Hajiji pemimpin bersih
November 27, 2025, 1:51 pm
Polis tahan lelaki disyaki 'ganggu' 3 pelajar di asrama MRSM Kuala Kubu Bharu
November 27, 2025, 1:07 pm
TLDM selamatkan orang awam terkandas akibat tanah runtuh di Pulau Jarak
November 27, 2025, 12:49 pm
Anwar hargai bantuan Thailand selamatkan rakyat Malaysia
November 27, 2025, 12:43 pm
PH tidak tamak bertanding kerusi PRN Sabah – Anwar
November 27, 2025, 12:38 pm
Kerajaan sedia RM7 juta tampung perbelanjaan segera sepanjang Monsun Timur Laut
November 27, 2025, 12:32 pm
Pelajar tolak motosikal polis hingga terjatuh dikenakan tiga saman
November 27, 2025, 12:28 pm
Agong ingatkan umat Islam berwaspada ancaman ajaran sesat
November 27, 2025, 9:26 am
