TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Coastal Combat 2026 gabungkan Muay Thai, program realiti di Desaru Coast

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Dis – Coastal Combat 2026 bakal membawa kelainan dalam dunia sukan tempur apabila memperkenalkan program realiti eksklusif Muay Thai, sekali gus menggabungkan elemen hiburan, persaingan sukan dan promosi pelancongan di Desaru Coast, Johor pada 23 hingga 24 Januari 2026.

Acara itu menghimpunkan petarung Muay Thai elit tempatan dan antarabangsa, termasuk ikon seni bela diri negara, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan, yang kembali ke disiplin asal kerjayanya dan menjadi salah seorang peserta utama program realiti pertama Muay Thai di Malaysia. Walaupun kini dikenali sebagai atlet Mixed Martial Arts (MMA), asas Jihin bermula daripada Muay Thai, pernah mewakili negeri Johor di Sukan Malaysia (SUKMA) dan meraih pingat sebelum beralih ke pentas profesional MMA.

Penganjur Coastal Combat, Boxxtomoi Asia, melalui pengarahnya Nor Afandi Nor Hosni, berkata, mereka beriltizam membawa Muay Thai ke era baharu dengan format unik yang menggabungkan sukan, naratif penceritaan dan promosi destinasi pelancongan.

“Ia sesuatu yang belum pernah dilaksanakan di negara ini. Penonton bukan sahaja dapat melihat atlet bersaing, tetapi juga mengikuti perjalanan peribadi, disiplin peserta dan pengalaman budaya di Pantai Desaru. Inilah evolusi Muay Thai – produk hiburan dengan nilai sukan sebenar yang turut memberi impak ekonomi kepada Johor,” katanya.

Program Realiti Muay Thai: Format Dan Cabaran

Program realiti ini disusun secara berpasukan, melibatkan 20 atlet – 10 dari Malaysia dan 10 atlet antarabangsa – yang akan bersaing dalam tugasan ekstrem yang menguji kekuatan fizikal, kemahiran teknikal, strategi berpasukan serta kreativiti. Rakaman dijalankan sepenuhnya di lokasi eksklusif Desaru Coast, dengan siaran dalam talian dijangka mencapai sehingga 300,000 penonton menerusi YouTube.

Pertarungan Malaysia vs Antarabangsa

Coastal Combat 2026 turut menampilkan barisan atlet wanita Malaysia yang mantap, diketuai Jihin, bersama Nur Amisha, Eycah, Krystal Angel dan Nur Afifah. Mereka akan berdepan pasukan wanita antarabangsa yang menampilkan pesaing dari Amerika, Perancis dan Indonesia, termasuk juara Eropah, Cindy Silvestre.

Dalam aksi tumpuan, Jihin dijangka menentang fighter Indonesia, Ade Mutia dari Kalimantan, bagi menghasilkan pertarungan sengit. Format Malaysia vs Antarabangsa direka untuk menambah elemen dramatik, kompetitif dan intensif kepada keseluruhan rancangan realiti.

“Penyertaan Jihin dan Nur Amisha bersama barisan atlet wanita Malaysia mencipta identiti baharu dalam sukan kombat negara. Ini adalah pasukan wanita Malaysia paling kuat pernah disusun,” kata Nor Afandi.

Coastal Combat 2026 bukan sekadar acara sukan, tetapi menjadi penanda aras baharu integrasi sukan kompetitif, hiburan dan promosi pelancongan di rantau ini. Inisiatif ini selaras dengan Tahun Melawat Johor 2026, menjadikan negeri ini sebagai pemacu utama pelancongan sukan dan acara antarabangsa.

+ - reset