Berita Berita
Pelajar UiTM Machang maut dirempuh motosikal ketika melintas dalam kampus
MACHANG 14 Dis – Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di dalam kawasan kampus universiti berkenaan, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, mangsa berusia 19 tahun dipercayai memakai earbuds atau fon putik di telinga ketika kejadian dan tidak menolak kemungkinan mangsa melintas secara melulu.
“Mangsa merupakan pelajar semester tiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Terdapat dakwaan mangsa leka semasa melintas kerana memakai earbuds di telinga.
“Pihak polis tidak menolak dakwaan tersebut dan terdapat saksi yang melihat mangsa melintas secara melulu, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa yang berasal dari Terengganu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Polis menerima makluman berhubung kejadian tersebut pada jam 6.40 petang hasil laporan orang awam.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang pelajar lelaki berusia 20 tahun sedang dalam perjalanan dari pintu utama UiTM Machang menghala ke asrama.
“Setiba di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai tiba-tiba melintas jalan secara mengejut.
“Penunggang motosikal cuba mengelak ke kiri, namun berlaku perlanggaran dengan pejalan kaki terbabit,” katanya.
Tambah beliau, akibat perlanggaran tersebut, mangsa terjatuh ke atas pembahagi jalan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di talian 09-9751222.
Berita berkaitan
December 18, 2025, 10:33 am
Larangan bawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di Selangor masih berkuat kuasa - Exco
December 18, 2025, 9:42 am
Hannah mahu tumpu kurangkan insiden banjir di Wilayah Persekutuan
December 18, 2025, 9:25 am
JPJ nafi surat tular kelulusan nombor pendaftaran siri ‘EE’
December 18, 2025, 9:15 am
Dividen FELCRA 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan
December 18, 2025, 9:10 am
Anwar sifat kritikan bantuan Malaysia kepada Gaza tiada nilai kemanusiaan
December 17, 2025, 8:52 pm
Tinggal sekejap tepi jalan beli sarapan, suami isteri cemas anak dilarikan bersama kereta di PJ
December 17, 2025, 8:38 pm
Pengasuh dipenjara 5 tahun tendang paha bayi 11 bulan hingga patah
December 17, 2025, 7:21 pm
Lelaki parah ditetak dengan parang depan kedai serbaneka di Gombak
December 17, 2025, 7:00 pm
