TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perbicaraan kes amang seksual fizikal Naim Daniel ditangguh ke tahun hadapan

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 15 Dis – Perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penyanyi dan pelakon terkenal, Naim Daniel yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan ke tahun hadapan.

Peguam, Mohd Irwan Sumadi yang mewakili tertuduh ketika dihubungi memaklumkan, Hakim Datin M. Kunasundary menetapkan tarikh baharu perbicaraan selama empat hari bermula 31 Mac hingga 3 April 2026.

“Kes bicara hari ini dilapangkan oleh mahkamah. Tarikh bicara baharu ditetapkan pada 31 Mac serta 1 hingga 3 April 2026,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember tahun ini bagi prosiding perbicaraan kes berkenaan.

Selain Mohd Irwan, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, turut diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.

Pada 17 Jun lalu, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya kira-kira jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Bagaimanapun, pelakon drama Projek: High Council dan pelantun lagu Sumpah itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

+ - reset