TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Laporan Pencapaian Reformasi Pendidikan 2025: KPM capai 15 kejayaan besar - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT MERTAJAM 15 Dis - Pelaksanaan reformasi pendidikan negara sepanjang tiga tahun lalu menunjukkan pelbagai pencapaian signifikan, merangkumi aspek dasar, tenaga pengajar, keselamatan sekolah serta pemulihan pascapandemik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara pencapaian utama Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk penguatkuasaan dasar pendidikan menengah wajib, pengurangan beban tugas pendidik serta pembinaan dan pemulihan sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan reformasi pendidikan itu akan terus diperkukuh dengan tumpuan pada tahun depan adalah mempersiapkan guru bagi menjayakan Kurikulum Baharu 2027.

Kurikulum Baharu 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2026 membabitkan prasekolah, diikuti Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.

"Komitmen KPM untuk terus mengurangkan beban tugas guru akan diteruskan bagi membolehkan warga pendidik memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk penguasaan pedagogi, serta pelaksanaan reformasi di bilik darjah.

"Kita mahu guru dapat memberi tumpuan di dalam kelas, meningkatkan kualiti PdP, dan melaksanakan pembaharuan dalam pengajaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, antara pencapaian paling signifikan ialah kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Parlimen yang menjadikan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima.

Dengan pindaan itu, setiap anak Malaysia kini dilindungi undang-undang untuk kekal dalam sistem pendidikan hingga tamat sekolah menengah, sekali gus memastikan tiada keciciran selepas Tahun Enam.

Selain itu, beliau berkata KPM berjaya melantik seramai 52,948 guru baharu dengan kadar pengisian mencecah 98 peratus, tertinggi dalam hampir sedekad, sekali gus memastikan hampir semua kelas di seluruh negara mempunyai guru mengajar.

Dalam aspek keselamatan sekolah pula, Fadhlina berkata KPM melaksanakan 11 inisiatif Sekolah Selamat secara serentak di seluruh negara, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pelantikan 10,096 guru dan kaunselor baharu, serta 600 pembantu warden asrama.

Berhubung pemulihan pascapandemik, beliau berkata takwim persekolahan negara akan kembali bermula Januari mulai sesi 2026 selepas empat tahun jadual persekolahan terganggu, selaras keperluan ibu bapa dan guru.

Katanya, intervensi literasi dan numerasi turut menunjukkan hasil positif apabila 398,496 murid berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), meningkat berbanding 326,051 murid sebelum intervensi dilaksanakan.

Dalam usaha mengurangkan beban guru, Fadhlina berkata KPM melaksanakan reformasi tugas termasuk pelantikan 562 pembantu guru, penempatan 600 pembantu warden bawah inisiatif MySTEP, sokongan operasi di 281 sekolah menengah, serta penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

Selain itu, beliau berkata pembinaan dan pemulihan infrastruktur pendidikan turut mencatat pencapaian tinggi apabila 44 sekolah baharu dibina dan 44 projek sekolah daif siap dilaksanakan pada 2025.

Menurutnya, peluasan pendidikan awal kanak-kanak turut diperkukuhkan apabila prasekolah KPM diperluas ke sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus meningkatkan akses pendidikan awal di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Mengulas usaha menangani keciciran pendidikan di kawasan pedalaman, Fadhlina berkata peluasan Sekolah K9 dan K11 berjaya memastikan kadar keciciran sifar dengan murid kekal bersekolah sehingga tamat pendidikan menengah.

+ - reset