TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis belum temui bukti SPRM acu senjata dalam serbuan rumah ahli perniagaan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 15 Dis – Polis setakat ini belum memperoleh sebarang keterangan atau bukti yang dapat mengesahkan dakwaan kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa serbuan dan penahanan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, di kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah menerima laporan daripada seorang wanita yang juga isteri kepada ahli perniagaan berkenaan pada hari kejadian.

Menurut beliau, pengadu mendakwa pasukan penguat kuasa SPRM menyerbu kediaman mereka dan menahan suaminya mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, selain turut mengacukan senjata ke arah dirinya dan suami semasa serbuan dijalankan.

“Sehingga hari ini, siasatan polis tidak menemui sebarang keterangan atau bukti yang boleh mengesahkan dakwaan pengadu.

“Ramai saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, namun saya tidak boleh mendedahkan jumlahnya dan memohon ruang kepada polis untuk menyelesaikan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Shazeli berkata, setakat ini hanya ahli keluarga pengadu belum memberikan keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian, namun mereka telah memberi komitmen untuk hadir apabila dipanggil kelak.

Beliau turut memaklumkan bahawa polis menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman terbabit serta rakaman perbualan telefon yang telah diserahkan kepada pihak forensik untuk dianalisis.

“Rakaman memang wujud, tetapi saya tidak boleh dedahkan butirannya buat masa ini. Polis juga akan memanggil semula pengadu bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, satu kertas inkuiri polis turut dibuka bagi menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh.

Sebelum ini, dilaporkan pegawai SPRM yang terlibat dalam serbuan berkenaan dilengkapi kamera badan termasuk peralatan rakaman. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut dilaporkan berkata, laporan polis telah dibuat berhubung tuduhan itu yang disifatkan sebagai fitnah terhadap agensi berkenaan.

+ - reset