TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada perancangan naik taraf Lebuhraya Persekutuan walaupun trafik sesak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Dis – Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaik taraf FT2 Lebuhraya Persekutuan meskipun laluan sepanjang 34.59 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang mencatat tahap trafik paling sesak pada 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dibuat kerana kos pengambilan balik tanah dan aset yang tinggi serta potensi kesan sosial menjadikan projek berkenaan tidak lagi ekonomik untuk dilaksanakan.

“Berdasarkan data bacaan lalu lintas 2024, tahap perkhidmatan jalan (LOS) di FT2 Lebuhraya Persekutuan melalui Stesen Banci BR101 direkodkan pada ‘LOS F’, iaitu aliran trafik sesak, sama seperti FT28 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Stesen Banci BR903,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tiew Way Keng yang ingin mengetahui status naik taraf lebuh raya dan jalan Persekutuan di Selangor.

Bagi FT2, kerajaan sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya alternatif bagi menyuraikan aliran trafik, selain menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam melalui LRT3 dari Shah Alam ke Kuala Lumpur yang dijangka mula beroperasi pada 31 Disember ini.

Mengenai FT28 MRR2 sepanjang 37.58 kilometer dari Kepong ke Sri Petaling, Nanta berkata Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan, namun menaik taraf FT28 juga tidak lagi ekonomik atas faktor kos dan implikasi sosial yang sama.

Sementara itu, beliau memaklumkan tahap perkhidmatan trafik di FT5 Jalan Klang-Sabak Bernam melalui Stesen Banci BR104 berada pada LOS A, menunjukkan laluan masih mampu menampung kapasiti trafik sedia ada, justeru tiada perancangan menaik taraf laluan tersebut.

Nanta berkata Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026, berpotensi menjadi alternatif untuk mengurangkan kesesakan trafik di FT5.

Beliau menegaskan sebarang cadangan pembinaan jalan baharu atau naik taraf jalan Persekutuan sedia ada perlu dikemukakan oleh kerajaan negeri melalui proses penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan jabatan teknikal berkaitan, tertakluk kepada agihan peruntukan pembangunan sebelum dipertimbangkan oleh kementerian.

+ - reset