TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Andre tamat kemarau 22 tahun emas lompat jauh Sukan Sea

By
|
Kongsi
image

BANGKOK 15 Dis – Jaguh olahraga negara, Andre Anura Anuar menebus kekecewaan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas yang dinanti-nantikan selama 22 tahun buat Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Beraksi di Stadium Nasional Supachalasai, Andre bangkit secara dramatik pada percubaan terakhir apabila mencatat lompatan sejauh 7.71 meter (m), sekali gus memintas juara bertahan dari Filipina, Ubas Janry, yang sebelum itu mendahului dengan 7.64m.

Ubas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas gagal mencatat lompatan sah pada percubaan terakhir, manakala pingat gangsa menjadi milik atlet Singapura, Medina Andrew George dengan lompatan 7.53m.

Kejayaan itu amat bermakna buat Andre bukan sahaja kerana menamatkan penantian panjang Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki, malah menjadi penebus kekecewaan selepas beliau gagal meraih emas dalam acara lompat kijang sebelum ini.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara lompat jauh lelaki di Sukan SEA adalah pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam menerusi Mohd Shahrul Amri Suhaimi.

Mengulas kejayaan berkenaan, Andre mengakui tekanan tinggi dirasai sepanjang pertandingan, lebih-lebih lagi apabila beliau ketinggalan selepas lima percubaan.

“Sejujurnya saya sendiri masih sukar percaya dengan kemenangan ini. Acara lompat jauh memang penuh tekanan kerana kami semua ada rekod peribadi melebihi lapan meter, jadi apa-apa boleh berlaku.

“Bila ketinggalan, saya cuba kawal emosi, panaskan badan dan bayangkan diri sudah menang. Itu cara saya urus tekanan,” katanya.

Strategi itu terbukti berkesan apabila Andre melakukan lompatan terbaik pada saat genting, sebelum kemenangannya disahkan selepas lompatan terakhir Ubas dibatalkan.

“Saya tahu emas lompat kijang terlepas dan ini satu-satunya peluang yang saya ada. Bila lompatan atlet Filipina dibatalkan, saya sangat gembira dan teruja.

“Pingat emas ini saya hadiahkan buat isteri saya sempena hari jadinya dan juga untuk jurulatih saya yang sentiasa percaya dengan perjuangan saya,” katanya.

+ - reset