Berita Berita
Papa Zola The Movie raih kutipan lebih RM10 juta, cetus 'fenomena kebenaran'
KUALA LUMPUR 15 Dis – Filem animasi tempatan Papa Zola the Movie terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih kutipan lebih RM10 juta sejak mula ditayangkan di pawagam pada 11 Disember lalu.
Kejayaan itu disifatkan sebagai luar jangka apabila filem berkenaan mencetuskan apa yang digelar sebagai fenomena kebenaran, susulan reaksi meluas penonton di media sosial yang berkongsi pandangan dan pengalaman peribadi selepas menonton karya tersebut.
Filem ini mendapat perhatian kerana penceritaannya yang jujur dan dekat dengan realiti kehidupan golongan dewasa, khususnya berkaitan tekanan hidup, pengorbanan serta pencarian makna kejayaan sebenar, sementara penonton muda pula terpikat dengan aksi dan visual animasi yang berkualiti tinggi.
Pendekatan penceritaan yang matang dan berani itu membuka ruang perbincangan lebih luas dalam kalangan masyarakat, sekali gus membuktikan animasi tempatan mampu melangkaui fungsi hiburan semata-mata dan tampil sebagai medium penceritaan yang relevan serta bermakna.
Pengarah dan penulis Papa Zola the Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, berkata sambutan luar biasa penonton amat dihargai dan tidak pernah disangka oleh pihak produksi.
“Terima kasih kepada penonton, media dan pemamer yang menyokong Papa Zola the Movie. Kami tidak menyangka sebuah filem animasi mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton. Reaksi yang diterima membuktikan ini adalah cerita kita, kisah yang lahir daripada realiti kehidupan,” katanya.
Beliau berharap kejayaan itu dapat membuka ruang baharu kepada industri animasi tempatan untuk tampil dengan penceritaan yang lebih matang dan bermakna pada masa hadapan.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola the Movie yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan reaksi emosional penonton sebagai satu penghargaan besar buat seluruh pasukan produksi.
“Melihat penonton tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton filem ini merupakan satu kepuasan yang tidak ternilai. Terima kasih kepada semua penonton dan ‘pejuang kebenaran’ yang memberi sokongan,” katanya.
Beliau turut berharap cuti persekolahan akan menjadi peluang kepada lebih ramai penonton, khususnya seisi keluarga, untuk meluangkan masa bersama menonton filem tersebut di pawagam.
Ketika ini, Papa Zola the Movie sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem berkenaan dijadualkan menembusi pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, diikuti India, Vietnam serta pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.
Berita berkaitan
December 18, 2025, 10:33 am
Larangan bawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di Selangor masih berkuat kuasa - Exco
December 18, 2025, 9:42 am
Hannah mahu tumpu kurangkan insiden banjir di Wilayah Persekutuan
December 18, 2025, 9:25 am
JPJ nafi surat tular kelulusan nombor pendaftaran siri ‘EE’
December 18, 2025, 9:15 am
Dividen FELCRA 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan
December 18, 2025, 9:10 am
Anwar sifat kritikan bantuan Malaysia kepada Gaza tiada nilai kemanusiaan
December 17, 2025, 8:52 pm
Tinggal sekejap tepi jalan beli sarapan, suami isteri cemas anak dilarikan bersama kereta di PJ
December 17, 2025, 8:38 pm
Pengasuh dipenjara 5 tahun tendang paha bayi 11 bulan hingga patah
December 17, 2025, 7:21 pm
Lelaki parah ditetak dengan parang depan kedai serbaneka di Gombak
December 17, 2025, 7:00 pm
