TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Usahawan hartanah nafi dakwaan scammer, sedia ambil tindakan undang-undang

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 16 Dis – Seorang usahawan hartanah menafikan dakwaan bahawa beliau seorang ‘scammer’, sebaliknya menegaskan isu yang dibangkitkan berpunca daripada proses pemulangan wang pembatalan pembelian tanah yang mengambil masa susulan keperluan prosedur perundangan dan perakaunan.

Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin berkata, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah menjejaskan reputasi serta usahanya membantu orang ramai memiliki hartanah tanpa melalui proses yang rumit.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah dan tomahan palsu sehingga menjejaskan nama baik serta perniagaannya.

“Tujuan saya adalah untuk membantu orang ramai memiliki hartanah sendiri, bukan menipu sesiapa.

“Dalam keadaan ramai berusaha memiliki rumah atau tanah, timbul pula fitnah daripada individu yang tidak senang melihat kejayaan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Azlan memaklumkan beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Jerteh, Terengganu minggu lalu terhadap seorang lelaki yang didakwa mengemukakan laporan palsu berkaitan urus niaga hartanah melibatkan tanah milik bapa individu berkenaan.

Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini membuat laporan mendakwa beliau menipu dalam transaksi tersebut sehingga menyebabkan Azlan disiasat oleh Bahagian Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu.

“Namun saya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan sebelum kes itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Azlan menjelaskan, kelewatan pemulangan wang kepada sebahagian pelanggan berlaku kerana jumlah yang besar selain keperluan mematuhi prosedur sah yang ditetapkan.

“Kelewatan ini berlaku kerana proses pemulangan wang, khususnya bagi pembatalan melibatkan amaun besar, memerlukan masa untuk diselesaikan mengikut prosedur yang betul,” jelasnya.

Beliau menegaskan perniagaannya dijalankan secara sah, telus dan mematuhi undang-undang, sambil menolak dakwaan bahawa beliau mengabaikan tanggungjawab terhadap pelanggan.

Dalam masa sama, Azlan mempertahankan konsep jual beli tanah secara ansuran yang diperkenalkan syarikatnya, yang menurutnya bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah, peniaga kecil dan individu tanpa slip gaji untuk memiliki hartanah.

“Inisiatif ini membuka peluang pemilikan aset kepada mereka yang selama ini sukar mendapatkan pembiayaan melalui saluran konvensional,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar pembeli yang membuat pembatalan telah menerima pemulangan wang masing-masing, manakala selebihnya masih dalam proses penyelesaian seperti yang termaktub dalam perjanjian.

“Semuanya berjalan mengikut perjanjian. Jika berlaku kelewatan, saya akan maklumkan lebih awal kepada pelanggan,” katanya.

+ - reset