Berita Berita
Bapa tiga anak mengaku tidak bersalah cederakan siak dengan parang
TAIPING 16 Dis – Seorang bapa kepada tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seorang siak menggunakan parang dalam kejadian di Kamunting, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Kamarulzaman Kamarudin, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Sakinah Haroon Arashid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Normuda Mohd Noor, 68, menggunakan sebilah parang di Surau Nurul Hidayah, Kampung Bukit Jana, Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama kira-kira jam 2.30 petang, 10 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi mencadangkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mendekati mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM50 sehari, sudah bercerai dan mempunyai tiga orang anak.
Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh pernah dimasukkan ke hospital psikiatri sebanyak tiga kali dan memohon agar tertuduh dirujuk semula ke hospital bagi mendapatkan rawatan sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Tarikh 29 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang siak surau mengalami kecederaan parah selepas ditetak berulang kali pada bahagian kepala dan tangan oleh seorang lelaki bersenjatakan parang.
Berdasarkan siasatan awal polis, motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap mangsa. Suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 4.30 petang pada hari kejadian, tidak jauh dari lokasi insiden.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:55 pm
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari 2026 - SPR
December 16, 2025, 1:19 pm
