Berita Berita
JHEAINS ambil tindakan segera susulan video tenaga pengajar pukul pelajar guna topi keledar
KOTA KINABALU 16 Dis – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan mengambil tindakan jangka pendek susulan penularan video memaparkan seorang lelaki dipercayai tenaga pengajar memukul pelajarnya menggunakan topi keledar di sebuah premis di daerah ini.
Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan bagi turun ke lokasi kejadian untuk mendapatkan laporan penuh berhubung insiden berkenaan.
“Setakat maklumat awal yang diterima, sekolah tersebut mempunyai kira-kira 90 pelajar dan difahamkan pada malam kejadian beberapa pelajar telah keluar ke sebuah kafe siber yang terletak hampir satu kilometer dari premis berkenaan dengan berjalan kaki.
“Menurut tenaga pengajar, mereka bimbang akan keselamatan pelajar, namun tindakan yang diambil jelas di luar kawalan seperti yang tular. Laporan penuh sedang disiapkan dan dijangka diterima hari ini sebelum tindakan sewajarnya diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Selasa.
Beliau menegaskan, tindakan guru terbabit adalah tidak wajar dan sepatutnya ditangani melalui pendekatan lebih berhemah, termasuk memberi teguran dan nasihat kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin.
“Disiplin tetap perlu ditegakkan, tetapi bukan dengan kekasaran. Zaman sekarang semuanya mudah dirakam dan ditularkan. Pendekatan mendidik secara berhemah perlu diutamakan.
“Jika mahu menggunakan rotan sekalipun, ada garis panduan. Bukan dengan menendang atau memukul menggunakan objek seperti topi keledar, itu jelas tidak sesuai,” katanya.
Jumain turut menjelaskan bahawa walaupun madrasah berkenaan bukan di bawah pentadbiran JHEAINS, pihaknya tetap menjalankan pemantauan susulan program pemutihan yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berpandangan pengurusan madrasah perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelajar bermasalah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
“Saya pernah menguruskan madrasah sebelum ini. Jika pelajar bermasalah, pengurusan perlu mempertimbangkan tindakan sewajarnya termasuk menamatkan pengajian mereka, supaya tidak menimbulkan tekanan sehingga tenaga pengajar hilang sabar,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas video berdurasi hampir lima minit tular di media sosial yang memaparkan beberapa remaja dipukul menggunakan topi keledar di sebuah premis di Kota Kinabalu.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:55 pm
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari 2026 - SPR
December 16, 2025, 1:19 pm
