Berita Berita
Dua koperal polis didakwa minta rasuah RM3,000
BUTTERWORTH 16 Dis - Dua anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa kesalahan.
Tertuduh, Mohamad Irwan Ason, 40, dan Mohd Effendy Mat Desa, 38, didakwa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam ketika kejadian didakwa secara rasuah memperoleh RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki cukai jalan tamat tempoh, air ketum dan rokok tidak bercukai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta berhampiran cawangan Maybank Taman Desa Damai, Bukit Mertajam pada 20 Julai 2023.
Bagaimanapun, Mohamad Irwan dan Mohd Effendy mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam bela, A Chandrasegaran merayu agar jaminan minimum dikenakan dengan mengambil kira komitmen kewangan dan keadaan keluarga tertuduh.
Mohamad Irwan mempunyai lapan anak selain menanggung pinjaman perumahan dan kereta, manakala Mohd Effendy pula menanggung tiga anak kecil, isteri yang sedang hamil, bapa uzur serta menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi, di samping komitmen pinjaman perumahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan syarat kedua-dua tertuduh melapor diri setiap bulan kepada SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 20 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 4:46 pm
Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang kumpulan Daesh
December 16, 2025, 4:24 pm
Anak-anak SM Mohamed Idris bantah penglibatan Anwar dalam pelancaran buku
December 16, 2025, 4:17 pm
KKM haramkan vape 2026
December 16, 2025, 4:05 pm
Rombakan kabinet, PM umum beberapa Menteri baharu
December 16, 2025, 2:55 pm
FAM nafi semua Exco diminta letak jawatan
December 16, 2025, 2:37 pm
Malas, ibu bapa kurang pantau, 3,000 pelajar di Melaka ponteng sekolah setiap hari
December 16, 2025, 2:09 pm
PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari 2026 - SPR
December 16, 2025, 1:19 pm
