TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC siasat hantaran palsu dakwa TikTok Malaysia ditutup

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Dis – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3, mendakwa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengumumkan penutupan TikTok Malaysia.

MCMC memaklumkan siasatan awal mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan palsu, serta kenyataan itu tidak pernah dikeluarkan oleh menteri berkenaan.

“Pihak Media Prima Berhad juga telah membuat laporan polis dan menafikan hantaran itu diterbitkan oleh Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian Media Prima. Penggunaan logo dan identiti visual adalah satu bentuk penyalahgunaan yang sengaja mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan MCMC hari ini.

MCMC menjelaskan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seorang individu yang disyaki terlibat telah dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak. Satu unit telefon bimbit dan kad SIM juga telah disita untuk tujuan analisis forensik digital.

Seksyen 233 Akta 588 memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial, kerana penyebaran kandungan palsu bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

+ - reset