TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis bongkar 16 kes pecah masuk pejabat kerajaan di Johor didalangi pemandu lori ais

By
|
Kongsi
image

 

PONTIAN 30 Dis – Kehidupan seorang pemandu lori ais yang kelihatan biasa pada siang hari terbongkar apabila lelaki itu dipercayai menjadi dalang kepada 16 kes pecah masuk melibatkan pejabat kerajaan dan rumah kediaman di enam daerah sekitar Johor.

Suspek berusia 42 tahun itu diberkas polis di sebuah kilang ais di Taman Universiti, Skudai, pada Ahad lalu hasil risikan terperinci serta maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien berkata, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu dipercayai menyasarkan pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kerana yakin terdapat wang tunai serta peti besi yang mudah dipecahkan.

“Suspek bergerak seorang diri dan menggunakan taktik memutuskan bekalan elektrik terlebih dahulu bagi melumpuhkan sistem keselamatan sebelum memecah masuk premis terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, hari ini.

Menurut beliau, enam daerah yang terlibat ialah Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri.

Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam 13 kes pecah masuk pejabat Nadi, dua kes di pejabat LPP serta satu kes pecah rumah.

Di daerah Pontian sahaja, enam pejabat Nadi menjadi sasaran suspek termasuk di Benut, Permas, Kayu Ara Pasong, Ayer Baloi serta dua lokasi di bandar Pontian.

Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah antaranya sebuah motosikal, peti besi, peralatan memotong besi, telefon bimbit pelbagai jenama, barangan kemas, resit pajak gadai dan peralatan elektronik.

“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM24,000,” katanya.

Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kini direman selama enam hari sehingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

+ - reset