TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kompaun hingga RM2,000 mulai 1 Januari jika buang sampah, meludah di tempat awam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Dis – Individu yang didapati membuang sampah atau meludah di tempat awam sekitar ibu kota bakal dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam bagi tempoh enam bulan, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Nor Halizam Ismail berkata, penguatkuasaan akan dipergiatkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) menerusi operasi antipembuangan sampah dan larangan meludah yang dilaksanakan secara berkala di seluruh Kuala Lumpur.

Menurut beliau, tumpuan penguatkuasaan diberikan di kawasan pelancongan bagi mengekang sikap tidak bertanggungjawab termasuk pembuangan sampah kecil seperti puntung rokok dan botol minuman, selain perbuatan meludah di kawasan awam yang menjejaskan kebersihan serta imej negara.

“Kompaun yang dikeluarkan boleh mencecah sehingga RM2,000 bergantung kepada jenis kesalahan dilakukan.

“Tujuan penguatkuasaan ini bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Nor Halizam berkata, DBKL turut mewujudkan empat kawasan bebas sampah melibatkan Jalan Bukit Bintang, Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak dan kawasan komersial Brickfields bagi memperkukuh imej bandar raya yang bersih dan teratur.

Selain itu, DBKL tidak akan berkompromi terhadap tahap kebersihan premis makanan serta tandas awam di sekitar ibu kota.

Menurut beliau, tindakan akan diambil terhadap pemilik atau kontraktor sekiranya gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

“Kira-kira 7,450 premis makanan dipantau secara berterusan bagi memastikan tiada pencemaran makanan atau pembiakan haiwan vektor seperti tikus dan lipas.

“Pemantauan terhadap kebersihan tandas awam juga akan dijalankan dari semasa ke semasa atau susulan aduan diterima,” katanya.

Mengulas pelancaran acara ‘I LITE U’, Nor Halizam berkata program berkenaan akan diadakan pada 3 Januari 2026 di Pavilion Kuala Lumpur sebagai pembuka tirai TMM 2026.

Beliau berkata, program itu dianjurkan DBKL dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Antara pengisian utama ialah perarakan 16 kontinjen, projek pencahayaan bandar berkonsepkan inovasi dan teknologi serta persembahan muzik dan kebudayaan Nusantara,” katanya.

Sehubungan itu, beberapa jalan utama termasuk Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Sultan, Jalan Pudu dan Jalan Sultan Ismail akan ditutup pada 1 Januari 2026 bagi latihan raptai penuh dan hari pelancaran, bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta hadir memeriahkan sambutan pelancaran TMM 2026.

+ - reset