TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mujahid tarik balik saman terhadap Takiyuddin, tamatkan pertikaian

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Dis – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bersetuju menarik balik saman terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung dakwaan sokongan terhadap budaya songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Pas pada Oktober 2022.

Langkah itu dilakukan selepas Takiyuddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mujahid dalam prosiding mahkamah.

Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu sepakat menamatkan pertikaian setelah mempertimbangkan faktor kos perundangan dan keperluan memberi fokus kepada isu yang lebih besar demi kepentingan negara.

“Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof dan YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian mereka dalam prosiding tersebut,” menurut kenyataan itu.

Mujahid bersetuju menarik balik tindakan guaman tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah berkaitan kos. Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini dihormati dan tidak dijadikan bahan mengganggu perpaduan serta keharmonian negara.

Sebelum ini, pada 15 Disember 2022, Mujahid, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), mendakwa Pas telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya melalui kenyataan di Facebook parti tersebut.

+ - reset