TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PAS tidak sertai EXCO baharu Perlis tanda solidariti, sedia lepaskan jawatan masing-masing

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos – PAS memutuskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bakal dibentuk oleh Menteri Besar Perlis baharu, Abu Bakar Hamzah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menjelaskan semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan selaras dengan peletakan jawatan bekas Menteri Besar daripada parti itu, Mohd Shukri Ramli.

"PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan dalam kerajaan negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15. Namun pada masa sama PAS tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu dan semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Abu Bakar memaklumkan rombakan dan pelantikan barisan EXCO baharu kerajaan Perlis dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu. Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata, beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail sebelum menghantar cadangan pelantikan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sebelum ini, empat wakil PAS membarisi senarai EXCO Perlis selain kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan. Mereka ialah Wan Badariah Wan Saad (ADUN Mata Ayer), Muhammad Azmir Azizan (Santan), Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang) dan Razali Saad (Simpang Empat).

Seorang lagi wakil PAS, Mohd Ridzuan Hashim, tergugur keahlian parti sekaligus menyebabkan kerusi DUN Guar Sanji diisytiharkan kosong. Dua lagi kerusi PAS, Chuping (disandang Saad Seman) dan Bintong (Fakhrul Anwar Ismail), turut diisytiharkan kosong susulan kemelut politik di PN Perlis.

Dengan tiga kerusi diisytiharkan kosong, PAS kini memegang enam daripada 15 kerusi DUN Perlis, BERSATU lima kerusi, manakala baki satu kerusi, Indera Kayangan, dimiliki Pakatan Harapan (PH).

+ - reset