Berita Berita
Ismail Ayob calon BN bagi PRK Dun Lamag
KOTA KINABALU – Bekas calon bebas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, Mohd Ismail Ayob diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Lamag yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari depan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin pada Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO Sabah, di sini, petang ini.
Menurut Jafry, pemilihan Mohd Ismail mengambil kira keputusan PRN17 yang baru berakhir, sekali gus mendorong BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan dalam menentukan wakil bagi PRK Dun Lamag.
Katanya, langkah itu selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan itu, BN Sabah mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui keahlian terus Barisan Nasional.
“Pencalonan ini merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” katanya.
Jafry berkata, pengukuhan kedudukan BN di Kinabatangan bukan sekadar melibatkan persaingan pilihan raya, sebaliknya merupakan keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pendekatan itu sejajar dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas panduan dalam memperkukuh kerjasama politik dan kestabilan negara.
Penghargaan sama turut dizahirkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas komitmen berterusan dalam memastikan keharmonian politik serta kelangsungan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan semua pihak dan berpandangan perbezaan pendapat merupakan lumrah dalam sistem demokrasi.
“Namun, ia perlu diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negeri,” katanya.
Pada majlis sama, Jafry turut mengumumkan semula pencalonan Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan, selepas sebelum ini diumumkan Presiden UMNO.
Beliau berkata, dalam landskap politik yang semakin mencabar, BN Sabah melihat Mohd Naim yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan sebagai pemimpin muda berpotensi dengan sokongan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan Dun Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Pada PRN17, Bung Moktar memenangi kerusi Dun Lamag dengan majoriti 153 undi, menewaskan Mohd Ismail Ayob dalam pertandingan enam penjuru.
Berita berkaitan
December 30, 2025, 4:28 pm
Kompaun hingga RM2,000 mulai 1 Januari jika buang sampah, meludah di tempat awam
December 30, 2025, 4:22 pm
Pengerusi PN Negeri Sembilan letak jawatan
December 30, 2025, 4:11 pm
SIRAT Global Forum 2026 bakal himpun komuniti perniagaan India Muslim pada 23 hingga 25 Januari 2026
December 30, 2025, 3:17 pm
PAS tidak sertai EXCO baharu Perlis tanda solidariti, sedia lepaskan jawatan masing-masing
December 30, 2025, 2:44 pm
Polis bongkar 16 kes pecah masuk pejabat kerajaan di Johor didalangi pemandu lori ais
December 30, 2025, 2:27 pm
Mujahid tarik balik saman terhadap Takiyuddin, tamatkan pertikaian
December 30, 2025, 2:21 pm
PN kekal di Perlis walaupun kepimpinan pusat letak jawatan
December 30, 2025, 2:17 pm
Sarah Nabihah hilang sejak Jumaat, polis minta bantuan orang ramai
December 30, 2025, 1:23 pm
