TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Laluan Cameron Highlands–Gua Musang dibuka semula, pengguna perlu bayar RM5 satu perjalanan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis – Laluan Cameron Highlands–Gua Musang yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh kini boleh digunakan semula selepas sebuah laluan sementara disiapkan oleh pihak syarikat perladangan.

Menerusi satu perkongsian video oleh pengguna TikTok @nashremiar2025, dimaklumkan bahawa pengguna jalan raya dikenakan bayaran RM5 bagi perjalanan sehala dan RM10 untuk perjalanan pergi dan balik.

“Setakat makluman 30 Disember, laluan sementara ini sudah boleh digunakan orang ramai. Bayaran RM5 dikenakan bagi satu hala, manakala RM10 untuk ulang-alik. Kemungkinan bayaran ini bagi menampung kos pembinaan laluan oleh kontraktor,” katanya.

Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada kerana keadaan cuaca masih tidak menentu berikutan musim tengkujuh.

Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai reaksi di media sosial apabila ramai pengguna meluahkan rasa lega laluan itu kembali dibuka, namun berharap faktor keselamatan terus diberi perhatian.

“Saya tak kisah bayar sedikit asalkan tak perlu guna laluan jauh. Cuma bila hujan, kena lebih berhati-hati sebab jalan mungkin licin,” komen Aina Farhana.

“Kalau laluan ini boleh jimatkan masa perjalanan, memang berbaloi. Biasanya boleh sampai dalam tiga jam berbanding hampir enam jam melalui jalan lain,” kata Amir Hakim.

“Bayaran RM5 itu munasabah memandangkan kos bina laluan sementara bukan kecil. Selain jimat jarak dan minyak, cuma laluan ini mungkin kurang sesuai digunakan pada waktu malam,” ujar Hafiz Rahman.

 

+ - reset