Berita Berita
Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 simbol solidariti tuntut keadilan
PUTRAJAYA18 Jan – Tuntutan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus disuarakan oleh kumpulan penyokong menerusi penganjuran Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 yang berlangsung semalam.
Menurut kenyataan penganjur, majlis berkenaan menjadi simbol solidariti, harapan dan keprihatinan rakyat, khususnya penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), terhadap nasib bekas Presiden UMNO itu.
Katanya, para penyokong kekal istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan serta keadilan buat Najib selaras dengan prinsip keadilan Islam dan kedaulatan undang-undang negara.
Salah seorang penceramah, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, berpandangan Najib wajar diberikan ruang untuk bersama kepimpinan dan penyokong UMNO serta BN, terutama dalam menghadapi cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Najib merupakan aset strategik dan ramuan terbaik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN.
“Pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta pengaruh beliau terbukti mampu menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut dilihat kekal sebagai figura penting UMNO dan BN yang berupaya menarik sokongan akar umbi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju parti.
Para penceramah juga sependapat bahawa Najib masih menggunakan saluran perundangan yang sah bagi mendapatkan keadilan, termasuk mengemukakan representasi dan permohonan semakan mengikut peruntukan undang-undang yang dibenarkan.
“Tuntutan keadilan ini bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman, sebaliknya menekankan kepentingan prinsip perbicaraan adil, ihsan dan kebijaksanaan dalam pelaksanaan hukuman, selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pada 25 Disember lalu, Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berkaitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
Kediaman Cikgu Chandra sekali lagi diserang, terima ugutan daripada bekas ahli politik
March 12, 2026, 11:19 am
Lelaki maut terjun tingkat tiga ketika cuba elak ditahan polis di Jalan Gombak
March 12, 2026, 10:41 am
MOTAC susun semula strategi promosi TMM 2026 susulan ketegangan Asia Barat
March 12, 2026, 9:46 am
Gempar hutan di lebuh raya MEX terbakar, 27 anggota bomba terlibat padam api lebih dua hektar
March 12, 2026, 9:17 am
KESUMA mulakan langkah jimat tenaga, teliti perluas amalan WFH bagi sektor swasta
March 11, 2026, 10:16 pm
Kabinet lulus projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey
March 11, 2026, 10:02 pm
