Berita Berita
Kanak-kanak 13 tahun selamat, kereta dilarikan ditemui semula dalam tempoh sejam di Shah Alam
SHAH ALAM 19 Jan - Tindakan pantas polis berjaya menemukan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dalam keadaan selamat selepas kenderaan yang dinaikinya dilarikan ketika diletakkan di tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata kejadian membabitkan sebuah Perodua Viva berwarna perak itu berlaku kira-kira jam 7 malam ketika suspek melarikan kenderaan berkenaan dengan mangsa berada di tempat duduk belakang sambil bermain telefon bimbit.
Beliau berkata, anggota bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kenderaan itu dicuri bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia kira-kira 13 tahun di dalamnya.
"Maklumat itu segera disalurkan kepada semua anggota di lapangan bagi mengesan kenderaan dan mangsa.
"Susulan maklumat daripada orang awam, mangsa bersama kenderaan terbabit ditemui di tepi jalan berhampiran Restoran D' Shell, Seksyen 26, kira-kira sejam kemudian," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ramsay, anggota polis bersama pegawai Jabatan Siasatan Jenayah IPD Shah Alam mengesahkan kanak-kanak perempuan itu ditemui dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih trauma akibat kejadian berkenaan.
"Ketika kejadian, enjin kenderaan dalam keadaan dimatikan. Mangsa sebelum itu menghidupkan enjin selepas meminta kunci daripada bapanya kerana ingin duduk di dalam kereta.
"Suspek menyedari terdapat seorang kanak-kanak di dalam kenderaan selepas mangsa menjerit, namun tidak bertindak ganas dan hanya mengarahkannya supaya berdiam diri," katanya.
Beliau berkata, mangsa dan kenderaan berkenaan dibawa ke IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Kenderaan yang ditemui semula itu turut diperiksa oleh pasukan forensik Kontinjen Polis Selangor.
Ramsay berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik daripada jagaan sah.
"Jika disabitkan kesalahan mencuri kenderaan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.
"Bagi kesalahan menculik kanak-kanak daripada jagaan sah, hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
Kediaman Cikgu Chandra sekali lagi diserang, terima ugutan daripada bekas ahli politik
March 12, 2026, 11:19 am
Lelaki maut terjun tingkat tiga ketika cuba elak ditahan polis di Jalan Gombak
March 12, 2026, 10:41 am
MOTAC susun semula strategi promosi TMM 2026 susulan ketegangan Asia Barat
March 12, 2026, 9:46 am
Gempar hutan di lebuh raya MEX terbakar, 27 anggota bomba terlibat padam api lebih dua hektar
March 12, 2026, 9:17 am
KESUMA mulakan langkah jimat tenaga, teliti perluas amalan WFH bagi sektor swasta
March 11, 2026, 10:16 pm
Kabinet lulus projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey
March 11, 2026, 10:02 pm
