Berita Jenayah
Pasangan warga Indonesia ditahan disyaki seludup migran dan edar dadah di Pontian
PONTIAN 27 Jan – Polis menahan pasangan suami isteri warga Indonesia dalam Op Pintas/Tapis Bersepadu, di sini, pada Isnin kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan di Kampung Parit Haji Yassin, Benut, pada jam 1.20 petang.
Menurutnya, polis merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah beg sandang, satu beg plastik hitam serta satu paket lutsinar mengandungi 500 biji pil disyaki ekstasi dengan anggaran berat 184.54 gram.
“Polis turut merampas satu paket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 231.77 gram. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM61,000,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan suami isteri berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, lelaki tersebut yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala isterinya ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Hadzrat Hussien menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan pengedaran dadah.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang, selain kerjasama risikan bersepadu antara Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian terus diperkukuh bagi membanteras jenayah terancang.
Berita berkaitan
August 21, 2026, 5:26 pm
Inspektor antara 10 anggota PGA ditahan kes peras ugut kilang sisa elektronik di Tasek Gelugor
August 21, 2026, 10:12 am
Cuak kena serbu, pengedar dadah cederakan polis guna parang
August 20, 2026, 2:35 pm
Lelaki ditahan pukul anak kucing guna penyapu aluminium di Batu Gajah
August 20, 2026, 11:32 am
Polis Johor buka 3 kertas siasatan isu pasang bendera terbalik, 5 individu ditahan
August 14, 2026, 11:29 am
Polis buru wanita berpurdah, rakan larikan gelang emas RM16,000
August 14, 2026, 11:18 am
Lelaki cedera parah ditetak parang, kumpulan merusuh dikesan guna objek menyerupai pistol
August 11, 2026, 11:26 am
Lelaki tempatan ditemui mati dibunuh di kebun kelapa sawit Banting, lapan ditahan
August 10, 2026, 12:07 pm
Lelaki Pakistan guna logo Imigresen pada kenderaan ditahan dalam 24 jam
August 9, 2026, 1:54 pm
Lelaki Bangladesh ditahan tetak rakan serumah di Cheras Baru
August 9, 2026, 1:50 pm
