Berita Jenayah
Lelaki cedera parah ditetak parang, kumpulan merusuh dikesan guna objek menyerupai pistol
SHAH ALAM, 14 Ogos – Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditetak menggunakan sebilah parang dalam satu insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning Batu 8, Sri Muda, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 38 tahun telah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi itu.
"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan kiri akibat ditetak menggunakan parang dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Klang.
"Siasatan awal turut mendapati pergaduhan membabitkan kumpulan terbabit ada melibatkan penggunaan objek menyerupai pistol," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Menurut Sarudin, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan berikutan kesalahan merusuh menggunakan senjata.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan objek menyerupai senjata api.
"Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-830 8706 bagi membantu siasatan," katanya.
Berita berkaitan
October 28, 2026, 11:09 am
Geng rompak kubur di Miri tumpas, sembilan lelaki ditahan
October 27, 2026, 5:32 pm
Empat budak Myanmar direman baling batu, batang besi ke arah warga emas
October 27, 2026, 12:14 pm
Peneroka Felda Lok Heng Selatan maut ditetak lelaki mengamuk
October 27, 2026, 12:04 pm
Kes gangguan seksual: Pengetua sekolah lapor polis selepas diserang keluarga pelajar
October 26, 2026, 10:53 am
Lelaki China ditahan di Hong Kong bawa 2 kilogram kokain didakwa peroleh dadah di P. Pinang
October 19, 2026, 7:28 pm
Polis buru lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor, lakukan aktiviti penipuan
October 19, 2026, 11:06 am
Geng curi motosikal tumpas, polis berkas tiga lelaki
October 18, 2026, 12:04 pm
Polis siasat hantaran provokasi bakar kedai milik warga Pakistan
October 18, 2026, 11:57 am
Wanita direman, bantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna di Terengganu
October 16, 2026, 2:49 pm
