TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Luar bidang kuasa' - Wanita kecewa jawapan KKM selepas mengadu jumpa cebisan disyaki tikus dalam tin sos spagethi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Jan - Niat seorang suri rumah menyediakan sarapan buat anak-anaknya bertukar cemas apabila menemui bendasing dipercayai cebisan tikus di dalam sos spageti keluaran sebuah jenama terkenal.

Berkongsi pengalaman itu, Rohaniza Nawawi berkata, sos berkenaan dibeli dalam kemasan tin di sebuah pasar raya runcit terkenal berhampiran kediamannya di Kedah, kira-kira tiga minggu lalu.

Menurut ibu kepada enam anak itu, bendasing tersebut disedari ketika beliau sedang mengaut sos yang telah dimasak untuk dimasukkan ke dalam mangkuk.

“Saya memasak sos itu seperti biasa sebelum ternampak cebisan bendasing berambut dan berisi di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun anak-anaknya tidak sempat menjamah makanan berkenaan, dirinya mengalami simptom loya dan muntah kira-kira lima minit selepas merasa sedikit sos tersebut.

“Saya tidak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, sebaliknya mengambil ubat herba tradisional dan keadaan saya pulih tidak lama kemudian,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, Rohaniza memaklumkan beliau telah membuat laporan rasmi kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengemukakan maklumat serta bukti berkaitan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa menerima maklum balas bahawa aduan berkenaan berada di luar bidang kuasa PKKM.

Menurutnya, penjelasan tersebut menimbulkan rasa kecewa kerana isu melibatkan kebersihan makanan sepatutnya diberi perhatian serius.

“Saya mempersoalkan tahap kebersihan kilang syarikat yang beralamat di Petaling Jaya itu dan berharap siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, alasan yang diberikan seolah-olah mengetepikan hak dan keselamatan pengguna.

“Keadilan kepada pengguna seakan dipandang ringan, sedangkan isu ini melibatkan risiko kesihatan,” jelasnya.

+ - reset