TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gerai burger jatuh dari lori, penunggang motosikal cedera di Kamunting

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Jan - Seorang penunggang motosikal cedera selepas sebuah gerai burger yang ditunda sebuah lori terjatuh ke atas jalan raya dalam kejadian di Jalan Medan Saujana 3, Kamunting, Taiping, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada 20 Januari lalu ketika sebuah lori Hino dipandu lelaki berusia 30 tahun sedang menunda sebuah warung burger dari Taiping menghala ke Kamunting.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum warung burger itu terjatuh ke atas jalan raya.

“Warung berkenaan kemudiannya menghempap sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 28 tahun serta sebuah kereta Proton Saga FL yang dipandu wanita Melayu berusia 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di bahagian dahi, leher serta luka pada tangan dan kaki sebelum menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut Abdul Malek, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 92 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).

Sebelum ini, satu rakaman video papan pemuka kejadian tersebut tular di media sosial Facebook pada 27 Januari lalu yang memaparkan detik gerai burger terjatuh dari lori sebelum terkena pengguna jalan raya di lokasi kejadian.

+ - reset