Berita Berita
Kerajaan digesa nilai semula penganjuran sambutan Hari Pekerja Pelancongan di Bukit Bintang
SHAH ALAM 28 Jan – Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula penganjuran Sambutan Hari Pekerja Pelancongan yang diadakan bersama Festival Muzikal Air di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang dijadual berlangsung pada 1 Mei ini, dari segi lokasi, skala dan bentuk acara.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar berkata, gesaan itu turut ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, penganjuran festival sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) secara terbuka di kawasan tumpuan awam seperti Bukit Bintang berisiko menjejaskan mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan orang ramai serta keselesaan pelancong termasuk keluarga dan warga emas.
“Konsep festival hiburan jalanan berskala besar yang melibatkan percampuran bebas dan suasana pesta awam perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab, sensitiviti budaya tempatan serta keharmonian sosial, khususnya dalam konteks negara berbilang kaum dengan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Penganjuran program seumpama ini di kawasan sesak juga mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan, termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, pendekatan pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan, sebaliknya perlu berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan imej negara.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa acara sempena VM2026 termasuk Sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan Festival Muzikal Air dijangka berlangsung di Bukit Bintang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, kedua-dua program itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei ini dan beberapa jalan utama di sekitar Bukit Bintang akan ditutup sementara bagi melancarkan penganjuran acara berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan dan MOTAC mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga serta pihak berkepentingan setempat sebelum penganjuran acara tersebut.
“Kerajaan perlu mengutamakan acara pelancongan yang berunsur budaya, keluarga dan komuniti, selari dengan nilai masyarakat serta imej Malaysia di mata dunia.
“Hakikatnya, kekuatan utama Malaysia bukan terletak pada pesta jalanan atau hiburan bebas, tetapi pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran yang membentuk jati diri negara,” katanya.
Mohamed Sukri turut menegaskan bahawa bantahan tersebut bukan penolakan terhadap VM2026, sebaliknya selari dengan matlamat kempen itu yang menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan.
Menurutnya, pemilihan acara utama perlu mencerminkan jati diri Malaysia dan bukan sekadar meniru model pesta jalanan negara luar.
“Mempertahankan budaya dan identiti ketimuran bukan penghalang kemajuan, malah menjadi asas kepada pelancongan yang bermaruah, lestari dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Pelancongan yang berjaya bukan yang paling bising dan sensasi, tetapi yang berakar pada nilai, berteras budaya dan berwajah Malaysia,” katanya.
Berita berkaitan
January 28, 2026, 1:04 pm
Harga purata rumah di Malaysia cecah RM490,376 seunit - KPKT
January 28, 2026, 12:41 pm
Tiga ahli geng 'Kapten Praba' tiba di KLIA, akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk reman
January 28, 2026, 11:42 am
Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika jadi Timbalan Menteri Pendidikan
January 28, 2026, 11:00 am
KDN tidak dedah maklumat siasatan serangan terhadap anak Rafizi di Dewan Rakyat
January 28, 2026, 10:47 am
Lori bergerak sendiri rempuh lima kenderaan di Kajang
January 28, 2026, 10:44 am
18 kenderaan rentung dalam kebakaran belukar berhampiran masjid di Johor Bahru
January 28, 2026, 10:43 am
Sultan Selangor larang nazir dan AJK masjid terbabit politik kepartian
January 28, 2026, 10:37 am
Gerai burger jatuh dari lori, penunggang motosikal cedera di Kamunting
January 28, 2026, 9:45 am
