Berita Berita
Sultan Selangor larang nazir dan AJK masjid terbabit politik kepartian
KLANG 28 Jan – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak mahu mendengar sebarang penglibatan nazir serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dalam politik kepartian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat.
Sultan Sharafuddin bertitah, larangan itu termasuk memegang sebarang jawatan politik dalam masa sama dilantik sebagai nazir atau imam masjid dan surau kerana institusi berkenaan perlu kekal sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing,” titah baginda.
Titah tersebut disampaikan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 nazir dan imam masjid seluruh Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, pada Rabu.
Menurut baginda, masjid dan surau tidak boleh dijadikan gelanggang politik, medan meraih sokongan atau platform kepentingan peribadi yang akhirnya membawa kepada perpecahan masyarakat Islam.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan jawatan nazir dan imam bukanlah kedudukan untuk direbut, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT.
“Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” tegas baginda.
Baginda turut mengingatkan pihak pengurusan masjid dan surau supaya mengelakkan budaya fitnah serta penyebaran tohmahan dalam kalangan ahli kariah kerana perbuatan itu boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam.
“Beta amat memandang serius budaya fitnah-memfitnah dan menyebarkan tohmahan terhadap mana-mana pihak, terutama melalui media sosial,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin menegaskan perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat sekiranya tidak dibendung.
Baginda turut menasihatkan supaya setiap maklumat disemak dan diteliti kesahihannya kerana fitnah membawa dosa yang amat besar.
“Ketahuilah bahawa beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau di negeri ini dan beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perlu,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan berhubung pengurusan kewangan masjid dan surau supaya dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan integriti.
“Wang masjid adalah hasil sumbangan orang ramai dan milik umat Islam, maka ia hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk manfaat umat Islam mengikut hukum syarak,” titah baginda.
Baginda menegaskan sebarang bentuk penyelewengan dana tidak akan dikompromi dan semua akaun perlu diurus mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), termasuk penyerahan laporan kewangan setiap empat bulan.
Selain itu, Sultan Sharafuddin menyeru para imam agar bukan sahaja mendalami ilmu agama, malah berupaya memimpin masyarakat, menjadi pendamai serta penggerak perpaduan dalam kalangan ahli kariah.
“Imam dan nazir masjid hendaklah sentiasa menjaga akhlak, keperibadian dan imej diri kerana mereka merupakan cerminan kepada institusi masjid,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Khutbah MAIS atas penyediaan teks khutbah berkualiti serta memuji kejayaan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berjaya menarik lebih 100,000 pelawat sepanjang tahun 2025.
Menurut Sultan Selangor, kejayaan itu membuktikan masjid bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah dan dakwah, malah mampu menjadi tarikan pelancongan Islam yang ikonik termasuk kepada pelancong bukan Islam.
Baginda berharap semua pihak dapat menghayati dan melaksanakan titah berkenaan dengan penuh rasa tanggungjawab, keikhlasan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT.
Berita berkaitan
January 28, 2026, 11:42 am
Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika jadi Timbalan Menteri Pendidikan
January 28, 2026, 11:00 am
KDN tidak dedah maklumat siasatan serangan terhadap anak Rafizi di Dewan Rakyat
January 28, 2026, 10:54 am
Kerajaan digesa nilai semula penganjuran sambutan Hari Pekerja Pelancongan di Bukit Bintang
January 28, 2026, 10:47 am
Lori bergerak sendiri rempuh lima kenderaan di Kajang
January 28, 2026, 10:44 am
18 kenderaan rentung dalam kebakaran belukar berhampiran masjid di Johor Bahru
January 28, 2026, 10:37 am
Gerai burger jatuh dari lori, penunggang motosikal cedera di Kamunting
January 28, 2026, 9:45 am
Pelajar tahfiz cedera dipukul rakan sekolah di Kajang, polis buka kertas siasatan
January 27, 2026, 11:23 pm
