TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kanak-kanak cedera kepala nahas empat kenderaan di Mersing

By
|
Kongsi
image

MERSING 31 Jan – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian kepala selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 43, sempadan Mersing, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.49 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Accord, Proton Persona, Perodua Myvi serta sebuah lori treler seberat 52 tan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.49 petang sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

Menurut beliau, kanak-kanak berkenaan yang berada di dalam Honda Accord mengalami kecederaan di kepala dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Sebuah Proton Persona didapati terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus, namun dua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan turut melibatkan sebuah Perodua Myvi yang membawa tiga mangsa serta sebuah lori treler dengan seorang mangsa, namun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua tujuh mangsa telah diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

“Kerja-kerja pemadaman kebakaran dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.47 petang,” katanya.

+ - reset