TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik Panglima Angkatan Tentera baharu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Jan – Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan berkenaan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari 2026 dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda semalam.

“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.

“Pelantikan ini juga diharap dapat memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan berteraskan integriti dan profesionalisme, selain mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Sastera dalam Pengajian Pertahanan dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.

Menurutnya, perkhidmatan Malek Razak bermula pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.

“Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah menunjukkan kebolehan, keupayaan serta kepimpinan yang cemerlang.

“Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan seterusnya berkhidmat dalam pelbagai pasukan serta memegang jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

“Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat,” katanya.

+ - reset