TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bomba ambil lebih sejam bantu lelaki obesiti 350 kilogram ke hospital

By
|
Kongsi
image

MELAKA 31 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa lebih satu jam untuk membantu memindahkan seorang lelaki obesiti seberat 350 kilogram yang berada dalam keadaan lemah di sebuah rumah di Taman Sri Gemilan, Kuala Sungai Baru, awal pagi Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 12 minit kemudian.

Menurutnya, mangsa berusia 40 tahun yang merupakan seorang guru didapati tidak berdaya di dalam bilik air rumahnya dan memerlukan bantuan untuk dipindahkan ke hospital.

“Maklumat awal daripada isteri mangsa memaklumkan bahawa mangsa mengalami demam sejak seminggu lalu dan sedang bercuti sakit.

“Mangsa juga mempunyai sejarah asma serta mengalami jangkitan kuman pada bahagian kaki yang menyebabkan beliau tidak mempunyai tenaga untuk bergerak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemindahan mengambil masa lebih lama berikutan ruang bilik air yang sempit selain keadaan mangsa yang menahan kesakitan.

“Pasukan bomba mengambil kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dari bilik air sebelum dipindahkan ke luar rumah,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menggunakan lori angkut bomba dengan diiringi pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Alor Gajah.

Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 4.18 pagi dan semua anggota yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

+ - reset