TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM Pulau Pinang panggil beberapa individu bantu siasatan kes guna dana zakat

By
|
Kongsi
image

 

GEORGE TOWN 1 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang akan memanggil beberapa individu berkaitan bagi membantu siasatan kes dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berhubung urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy berkata, pihaknya akan merakamkan keterangan individu terlibat dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan yang telah dibuka.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan SPRM komited memastikan semua aspek kes tersebut diteliti secara menyeluruh.

“Kita akan memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di lokasi perarakan sempena sambutan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga, di sini, pada Ahad.

Terdahulu, SPRM Pulau Pinang mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Menurut sumber, siasatan itu dimulakan susulan pendedahan yang dibuat oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, pada Ahad lalu berkongsi kenyataan seorang penyelaras pertubuhan itu, Azam Melaka, berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.

Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan fitnah berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah seperti yang tular di media sosial.

Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, dakwaan dan polemik yang ditularkan, khususnya yang mengaitkan Mohamad dalam isu berkenaan, disifatkan berniat jahat dan bertujuan mencemarkan imej institusi itu.

Beliau turut menolak sekeras-kerasnya semua tohmahan berkenaan serta menegaskan MAINPP tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu-isu yang dibangkitkan.

+ - reset